“Sesungguhnya, orang-orang yang dimatikan Malaikat sambil mereka menzalimi diri mereka sendiri, Malaikat bertanya kepada mereka, “Bagaimana keadaan kamu?” Mereka menjawab,”Kami adalah golongan lemah di muka bumi”. Berkata Malaikat, “Tidakkah bumi Allah itu luas, mengapa tidak kamu berhijrah di dalamnya (ke tempat lain)?” Maka tempat orang-orang ini adalah Jahannam dan ianya tempat tinggal yang amat buruk.”(An-Nisaa’ 97)
Ayat ini mengisahkan tentang golongan orang yang beriman pada zaman Rasulullah (SAW). Mereka beriman tetapi menyembunyikan iman mereka dan kekal di Mekah, tidak berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah (SAW). Akhirnya berlaku peperangan Badr. Mereka ini turun bersama dengan tentera Quriasy untuk menentang tentera Islam dan dalam keadaan itu mereka terbunuh!
Dalam ayat ini, mereka ditanya oleh Malaikat kenapa mereka terus bersama kaum Quraisy sehingga sanggup memerangi ummat Islam, sedangkan mereka beriman? Mereka memberi alasan bahawa mereka adalah ‘Mustadafiina fiil ‘ard’ atau golongan lemah di atas permukaan bumi. Dalam erti kata lain, mereka dipaksa dan oleh kerana mereka lemah, tidak ada apa yang boleh mereka lakukan. Namun apabila ditanya mengapa mereka tidak berhijrah untuk melepaskan diri mereka dari tekanan dan paksaan itu, mereka tiada jawapan. Penghujung ayat yang menceritakan kesudahan kepada golongan ini adalah yang menggerunkan kita semua.
Jika ditinjau keadaan ummat Islam dewasa ini, kita boleh lihat ramai yang menyokong perjuangan Islam dan inginkan ummat Islam kembali dicorakkan mengikut ajaran Islam. Namun ramai juga yang takut untuk menyatakan sokongan mereka ini. Ada di sebaban oleh jawatan dan pendapatan, ada juga kerana keluarga dan sebagainya. Walau apa pun juga alasan yang diberikan, dalam keadaan itu mereka terus memberi khidmat kepada pihak yang menentang perjuangan Islam. Berita fitnah terus ditulis dan disiarkan, tindakan diskriminasi terus diambil dan undang-undang yang menzalimi dan menghalang kebangkitan Islam terus dikuatkuasakan. Mungkin mereka menganggap ‘makan gaji’ atau ‘ikut arahan’ adalah alasan yang munasabah.
Apa yang dikhuatiri ialah jika ada di antara kita yang mati dalam keadaan sedang memberi khidmat kepada pihak yang menentang Islam dan melaksanakan perintah mereka untuk menyekat kemaraan kesedaran Islam. Pada ketika itu, ayat ini akan terkena di atas batang hidung sendiri.
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu tempatnya adalah ditingkat yang paling bawah dalam neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapatkan penolong untuk mereka”.(An-Nisaa’ 145)
Naudzubillahhi mindzalik. Semoga Allah selamatkan kita dari sifat nifaq. Semoga kita bersama dengan perjuangan memenangkan Islam dan bukan seperti mereka yang mendabik dada, mengatakan mereka orang Islam tetapi pada masa yang sama berusaha menghalang kebangkitan Islam!
WaLlahu 'Alam | rencana asal