Aku sungguh bimbang sekali
bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi
bukan kerana tiada pemimpin berwibawa di setiap bidang
buan kerana pertumbuhan ekonomi tidak cemerlang
bukan kerana suasana politik yang tidak aman
Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi,
Kerana pemimpin berwibawa disetiap bidang tidak didengarkan
Suara mereka yang berani tentu tidak menyedapkan
Cadangan mereka mengisalahkan perkara mengambil masa
Bukan untuk cepat mencari untung mengira laba
Bukan juga untuk menang pilihanraya kan tiba
Bukan untuk menagih liputan media masa
Hanya inginkan kejayaan berkekalan
Mendapayt keradhaan di dua kehidupan
Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi,
Kerana pertumbuhan ekonomi cemerlang tidak digunakan
Untuk menguguh akhlak di peringkat atasan
Yang mudah berubah dengan longgokan kekayaan
Yang takabbur lalu merendah bidang tak menguntungkan
Aku takut umat kita tidak akan bangkit lagi
Walau ekonomi melambung tinggi
Umatku sibuk membeli saham menjual budi
Anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagak meningkat gaji
Universiti tidak di nilai secara insani, hanya patuh nafsu industri
Yang sering berubah mengikut pasaran
Pasaran berubah mengikut perasaan.
Aku bimbang walaupun suasana politik bengitu aman
Rakyatku sentiasa ditakutkan dengan cerita khayalan
Tidak berani menyata kata walau hak di dusta selalu
Tidak sanggup membuka mata walau muka diconteng melulu
Tidak malu memuat fitnah walau berada di pintu Kaabah
Tidak gentar pada al-Haqq kerana takut hilang anugerah.
Aku bimbang umatku tidak akan bangkit lagi
Kerana yang malas selalu di ganjari
Kerana pandai memuji tinggi
Kerana terlalu tunduk mematuhi
Tanpa mengira ajaran amaran Illahi
Tanpa mengikut undang-undang negari
Ulama dapat dibeli, hakim dapat di takuti.
Bagaimana kita dapat bangkit semula melawan musuh
Jika ayam jantan yang senang berkokok setiap subuh
Membuka mata bangsa, menjernihkan yang lama keruh
Di potong lidahnya, disepak terajang si anak bodoh?
Aku sungguh bimbang kita akan terus begini
Kerana puyuh pentadbir diangkat mengawal helang ilmi
Tata-cara sekolah rendah diguna-pakai di universiti tinggi
Kaedah mengurus wang dipertahankan, dianggap suci
Diguna membangun insan, menilai sumbangan ulama dan nabi.
Kita akan terus begini seribu tahun lagi
Kerana tabiat buruk membazir sentiasa diulangi
Suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap
Membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap
Menebang pokok meranti tinggi, rendang dan tegap
Semata-mata kerana benci, dengki dan hasad
Bagaimana kita akan bangkit semula
Memimpin dunia mendapat syurga?
Jika ibu bapa pintar melahir anak cuma
Jika pelajar mahu lulus periksa dan cari kerja
Jika guru, pensyarah kehilangan arah
Ilmu terpaku di dada ijazah
Jika peniaga bermain politik, bertuhankan laba
Ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala
Jika cendekiwan cuma mengikut dan membuat komentar -
Cekap mengubah fakta, meminda makna, mengejar kuasa
Adam akan menyesal
Dan Iblis kenduri besar.
Prof.Dr Wan Mohd Nor